KUALA LUMPUR, 29 Nov – Setia…..Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau akan tetap setia kepada parti dan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak memimpin UMNO serta mentadbir negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau tidak menganggap kedudukannya kini sebagai ‘ghanimah’ atau harta rampasan perang untuk kepentingan diri.

“Tetapi ini adalah suatu ujian untuk menilai kesetiaan saya kepada tuan nakhoda bahtera UMNO ini. Saya berjanji akan terus berdiri di belakang tuan nakhoda untuk memudik pelayaran bahtera ini menerjah samudera ke sebuah pulau kemenangan. Inilah janji Zahid Hamidi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap buat julung kalinya merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak serta pemimpin ketiga-tiga sayap UMNO.

Ahmad Zahid berkata, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Najib dan seluruh jajaran Majlis Tertinggi UMNO atas kepercayaan memberikannya amanah dan tanggungjawab untuk menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO.

Beliau juga berharap pemimpin UMNO mencontohi khalifah Islam keempat, Saidina Ali yang taat setia menyokong ketiga-tiga khalifah yang memimpin umat Islam sebelumnya iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Sadina Umar al-Khattab dan Saiidina Uthman Affan.

“Marilah kita bersama-sama berdiri teguh dan memberi sokongan sepenuh hati dalam membantu Presiden untuk menentukan kesinambungan kepimpinan bagi mencemerlangkan parti, kerajaan dan negara,” katanya. – WD MY