BALI, 23 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Bali Convention Centre sebentar tadi bagi menghadiri Persidangan Proses Bali peringkat menteri.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri akan menyampaikan ke­nya­taan menteri pada persidangan itu.

Proses Bali, yang diasaskan pada 2002, berjaya meningkatkan secara berkesan kesedaran serantau tentang keburukan penyeludupan manusia, pemerdagangan orang dan jenayah rentas sempadan ber­kaitan, di samping menggubal serta melaksanakan strategi dan kerjasama secara praktikal sebagai respons terhadapnya.

Terdapat dua dokumen penting dijangka dihasilkan pada akhir persidangan tersebut iaitu Kenyataan Pengerusi Bersama dan Deklarasi Menteri Proses Bali. Pengerusi bersama persidangan ini ialah Indonesia dan Australia.

Kedua-dua dokumen tersebut akan menjadi teras penting dalam membanteras perdagangan orang, menangani masalah pencari suaka dan jenayah rentas sempadan. Ke­nyatan Pengerusi Bersama adalah tindak balas kepada apa yang telah dibahas dan disepakati dalam persidangan tersebut.

Sementara Deklarasi Menteri Proses Bali pula adalah tindakan serta langkah-langkah terancang yang akan diambil oleh negara-ne­gara terlibat dalam menangani masalah penyeludupan manusia, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan yang berkaitan.

Proses Bali mempertemukan negara asal, negara transit dan negara destinasi penyeludupan manusia, sebagai salah satu langkah menyelesaikan masalah pencari suaka di rantau ini.

Ia menjadi medan pertukaran maklumat mengenai pola pelarian dan meningkatkan kerjasama antarabangsa pelbagai hala dalam menangani masalah ini.

Persidangan ini yang merupakan satu-satunya platform serantau di Asia Timur dan Pasifik yang menangani isu berkaitan migrasi turut disertai badan antarabangsa iaitu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Proses Bali ini antara lain bertujuan meningkatkan kerjasama di bidang pertukaran maklumat mengenai pencari suaka, pelaksanaan undang-undang, persempadan dan visa, kesedaran awam, merangka undang-undang jenayah rentas sempadan dan perlindungan korban pemerdagangan orang.

Pertemuan negara-negara yang terlibat dengan masalah penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang ini adalah respons kepada masalah peningkatan penghijrahan pendatang asing tanpa izin sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mencari perlindungan serta suaka dari negara-negara ketiga.

Persidangan itu juga akan menimbang untuk mewujudkan satu mekanisme bagi membolehkan negara anggota mengadakan perundingan tepat dengan masanya berkaitan respons terhadap isu yang muncul. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY