BAGAN DATUK, 28 Jan –  Gembira…..Kedatangan Tahun Baharu Cina amat memberi
makna kepada Beh Song Wan apabila rakan karib beliau, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi, tidak pernah lupa mengunjungi kediamannya di sini untuk sama-sama
memeriahkan sambutan itu.
Beh, 54, yang bersahabat baik dengan timbalan perdana menteri sejak 26 tahun
lalu, menyediakan juadah seperti ubi rebus dan lontong yang merupakan makanan
kegemaran Ahmad Zahid, selain kari ikan bawal emas, mi goreng, kuih-muih dan
limau Mandarin, untuk meraikan rakan karibnya itu.
Ahmad Zahid, yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk, tiba kira-kira pukul
5.30 petang di kediaman Beh di Taman Desa Bersatu, Simpang Empat di sini.
Beliau turut beramah mesra dengan anggota keluarga Beh termasuk ibunya Cheah
Seoh Lian, 76, serta kira-kira 200 penduduk setempat yang hadir.
 “Sudah lebih 10 kali Datuk Seri hadir ke rumah saya setiap kali Tahun Baharu
Cina dan ia amat menggembirakan kami sekeluarga terutama ibu saya yang begitu
rapat dengan Datuk Seri.
“Seperti tahun lalu, saya menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Datuk
Seri (Ahmad Zahid) dan beliau membalas ‘setuju’ untuk hadir,” katanya. – WD MY