KUALA LUMPUR, 5 DIS – TIDAK WAJAR…. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat mengarahkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh meninggalkan Dewan kerana ia bertentangan dengan Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kepada Sivarraajah kerana kes pembatalan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands masih lagi dalam proses rayuan.

“Beliau (Sivarraajh) masih Ahli Parlimen yang sah kerana kes berkenaan masih lagi dalam proses rayuan.

“Jadi, tiada sebab untuk beliau diusir semata-mata kerana desakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, tanpa meneliti peruntukan Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini mengarahkan Sivarraajh meninggalkan Dewan selepas statusnya sebagai Ahli Parlimen menjadi tanda tanya susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, baru-baru ini.

Ahmad Zahid turut menyifatkan keputusan membatalkan kemenangan Sivarraajh di Cameron Highlands tidak mempunyai kaitan dengan kehadiran di Dewan Rakyat kerana beliau akan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.

“Oleh itu, kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak boleh dikosongkan mengikut Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan sehingga Hakim Pilihan Raya memperoleh keputusan kes rayuan Mahkamah Persekutuan.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu membenarkan Sivarraajh menghadiri sidang Parlimen seperti mana diperuntukkan di bawah Undang-undang Pilihan Raya,” katanya.

Menurutnya, apabila Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh dan menyebabkan kemungkinan satu pilihan raya kecil diadakan, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Mereka boleh memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan seperti mana termaktub mengikut Seksyen 36A(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Jika dirujuk Seksyen 36C akta berkenaan pula, keputusan Hakim Pilihan Raya adalah muktamad hanya selepas sebarang rayuan yang difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan,” katanya. – WD MY