KUALA LUMPUR, 2 Mac -Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bekas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus bersama parti walaupun telah digantung jawatan.

Menurut beliau, berdasarkan semangat Muhyiddin terhadap parti semasa menjadi
timbalan presiden, beliau yakin Muhyiddin tetap sayangkan parti dan akan terus
berjuang dalam UMNO.

“Tan Sri Muhyiddin walaupun bukan lagi seorang timbalan presiden UMNO, masih
lagi ketua UMNO Bahagian Pagoh dan keahlian beliau tidak terjejas berdasarkan
keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat lepas.

“Saya merujuk kepada ucapan-ucapan beliau terdahulu bahawa beliau
(Muhyiddin) ahli UMNO totok (sejati), ertinya tentulah beliau masih terus
menyayangi UMNO dan sebagai ahli totok, tentunya beliau akan terus dan tetap
bersama dengan kami,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Perumahan
Penjawat Awam 2016 anjuran bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) hari ini.

Ahmad Zahid yang memangku tugas Timbalan Presiden Umno mengulas rancangan Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana
menteri itu yang dijangka mengadakan sidang akhbar di Damansara di sini, esok.

Beliau berkata Muhyiddin juga perlu membuat keputusan dengan munasabah yang
mementingkan parti melebihi diri.

“Sebarang keputusan yang dibuat biarlah demi kepentingan parti melebihi buat
keputusan apabila seseorang itu berada dalam keadaan kesedihan dan kemarahan,”
katanya. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY