GEORGE TOWN, 4 Dis – Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd menjangka tempahan daripada sektor minyak dan gas
meningkat pada 2016, selepas menyusut sejak dua tahun lepas.

Pengarah Urusan Antoine Cazal berkata sektor minyak dan gas adalah pemacu
utama ekonomi Malaysia dan kelembapan global menyebabkan pasaran tempatan
memperlahan.

Beliau berkata kejatuhan harga minyak menyebabkan penundaan beberapa serahan
namun yakin pasaran akan kembali pulih tahun depan dan tempahan daripada sektor
itu akan meningkat seiring pemulihan.

“Saya percaya pasaran akan melantun semula tahun depan dan permintaan
terhadap helikopter akan meningkat terutama bagi syarikat minyak dan gas yang
memerlukannya dalam eksplorasi laut dalam,” katanya kepada pemberita di luar
Pameran Antarabangsa Maritim 2015, di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat menyerahkan 12 helikopter pelbagai model kepada
pelanggan dalam tempoh tiga tahun sehingga 2013, sebelum sektor itu mengalami
kelembapan.

Cazal kekal optimis berhubung permintaan dalam jangka panjang dan pada masa
ini syarikat sedang berbincang dengan beberapa pelanggan termasuk MHS Aviation
Bhd, Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan Awan Inspirasi Sdn Bhd mengenai
tempahan berpotensi.

“Pesanan kami adalah 50:50 daripada segmen kerajaan dalam perkhidmatan
ketenteraan seperti tentera udara dan tentera laut serta polis, manakala baki
daripada segmen awam termasuk sektor minyak dan gas,” katanya.

Beliau juga berkata Kumpulan akan terus memperkukuh hab penyelenggaraan,
pembaikan dan baik pulih (MRO) di Subang Jaya yang pada masa ini menyediakan
perkhidmatan untuk pasaran serantau seperti Indonesia, Filipina, Thailand,
Myanmar dan Jepun.

“Selain hab MRO, kami juga menyediakan kursus latihan juruterbang, pusat
melengkapi pesawat dan pusat sokongan pelanggan bagi menampung keperluan
pelanggan kami di rantau ini dan tempat lain,” katanya.-Sofea Nawar/Agensi (WD MY)

LEAVE A REPLY