TEMERLOH, 6 Ogos – Tolak…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap ahli¬†UMNO akar umbi perlu menolak semua bekas pemimpin parti itu yang pada pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab lebih tiga juta ahli UMNO ketika ini perlu fokus, taat dan setia mempertahankan kepemimpinan parti di peringkat cawangan, bahagian dan Pusat.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, tindakan bekas pemimpin UMNO yang menyertai parti pembangkang jelas sekali untuk menghancurkan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana mahu berkuasa dan menawan Putrajaya.

Katanya, pemimpin dan ahli akar umbi tidak perlu bersimpati dan bersetuju dengan tindakan mereka yang keluar daripada UMNO kerana tidak setia kepada kepemimpinan parti.

“Mereka bukan sahaja tidak taat kepada pemimpin tetapi turut memfitnah dan menghasut rakyat dengan memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan rakyat.

“Jadinya, ahli akar umbi UMNO di semua cawangan tidak perlu sokong dan undi mereka (bekas pemimpin UMNO) jika bertanding pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Temerloh di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua UMNO Bahagian Temerloh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Turut sama Ketua Wanita UMNO Bahagian Temerloh, Juhanis Abd Aziz; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Temerloh, Suhaya Elly Rosli. – WD MY