KUALA LUMPUR, 31 Mei – Gantung…  Akhbar The Star hari ini, menggantung tugas dua pengarang kanannya, susulan kontroversi berita dan gambar yang disiarkan pada muka hadapan akhbar itu, Sabtu lalu.

Ketua Pengarangnya, Datuk Leanne Goh Lee Yen dan Pengarang Eksekutif, Dorairaj Nadason, digantung tugas untuk suatu tempoh yang tidak dinyatakan.

Penggantungan tugas kedua-duanya, dibuat bagi membolehkan siasatan terhadap kejadian terbabit dijalankan.

Sepanjang tempoh penggantungan, Pengarah Urusan Kumpulan Star Media merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Wong Chun Wai, akan menyelia operasi bahagian editorial akhbar berkenaan.

Akhbar itu juga melaporkan, semua pengarangnya dan Kumpulan Star Media akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata dua kertas siasatan dibuka PDRM mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan, terhadap akhbar The Star, susulan penyiaran berita muka depan Sabtu lalu, yang menyinggung perasaan umat Islam negara ini.

Beliau berkata, kertas siasatan terbabit dibuka selepas polis menerima banyak laporan berhubung laporan muka depan akhbar berkenaan.

Katanya, siasatan akan berjalan seperti biasa dan mereka yang bertanggungjawab akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kita akan memanggil mereka yang bertanggungjawab memberi keterangan untuk mengetahui siapa yang mengeluarkan gambar dan tajuk di halaman pertama akhbar itu Sabtu lalu,” katanya. -WD MY