Akhirnya Tun Mahathir Akui Masih Terima Kemudahan Yang Disediakan Kerajaan

0
165

PUTRAJAYA, 10 Nov – NIKMATI……. Bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui masih menikmati beberapa kemudahan yang disediakan kerajaan untuk bekas Perdana Menteri selepas beliau berundur daripada jawatan itu, 14 tahun lalu.

Kemudahan seperti pembantu rumah dan kakitangan di Yayasan Kepimpinan Perdana dikekalkan cuma mereka dihantar menggantikan pekerja lama dengan khidmat mereka masih dibayar kerajaan.

Mengulas kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini bahawa kerajaan tidak pernah menarik apa-apa kemudahan yang disediakan kepada mana-mana bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata beliau sedia menyenaraikan perjawatan yang ditarik balik termasuk yang tiada kaitan dengan kerajaan dan mendakwa pihak yang menawarkan perjawatan itu kepadanya dipaksa menarik jawatan yang diberikan.

Menurut JPM, sebanyak 21 perjawatan diperuntukkan kepada Dr Mahathir, dengan semua perjawatan itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan meliputi pembayaran gaji, elaun tuntutan dan lain-lain kemudahan yang layak dinikmati sebagai penjawat awam.

Dr Mahathir, yang ditemui media selepas sesi dialog kepimpinan dalam era digital masa depan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, dalam pada itu, bertegas untuk tidak memohon maaf berhubung kenyataannya berkaitan Bugis termasuk terhadap desakan yang dibuat Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Dakwa beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang merujuk kepada etnik itu mahupun pihak Jusuf.

Mengenai tindakan polis membuka dua kertas siasatan terhadap beliau berhubung kenyataannya itu, Dr Mahathir berkata, polis hanya menjalankan tugas mereka dan sedia disiasat jika dipanggil. – WD MY