PEDERNALES, 21 April – Stadium Bola Jadi Rumah Mayat…..Keranda dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna yang didermakan bertimbun di penjuru sebuah stadium bola sepak di kawasan peranginan Ecuador, di sini.

Stadium itu kini bertukar menjadi rumah mayat selepas gempa bumi kuat yang mengorbankan lebih 500 orang.

Pegawai perubatan berpakaian putih berulang alik di kemudahan sementara itu bagi mengenalpasti identiti mayat yang mereput. Mereka adalah mangsa yang ditemui di bawah runtuhan rumah dan hotel di kawasan pantai popular di pesisir Pasifik Ecuador.

Digelar Pusat Operasi Kecemasan, stadium itu terletak tidak jauh dari pusat gempa 7.8 magnitud Sabtu lalu yang menyebabkan 800 bangunan musnah. Ia turut berfungsi sebagai pusat perubatan dan pengedaran bantuan gempa.

“Kami merawat mangsa cedera di sini kerana pusat kesihatan tempatan hanya ada tiga katil dan bukan sebuah hospital. Tiada bilik bedah,” kata seorang doktor Kementerian Kesihatan Ecuador.

Dalam tempoh 24 jam pertama gempa – tempoh paling huru-hara, pekerja kesihatan membaringkan pesakit di atas padang dan menyediakan tempat helikopter mendarat di tengah padang untuk membawa mangsa cedera serius ke hospital wilayah.

Ahli keluarga yang terdesak mencari individu tersayang pada mulanya tiba dengan harapan menemui mangsa selamat. Namun kini, empat hari selepas gempa bumi itu, mereka datang untuk menuntut mayat.

Pihak berkuasa memaklumkan 154 mayat sudah dikenal pasti di Pedernales, setakat ini. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY