KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Rakyat Malaysia di negara ini, dikesan masih mempunyai kefahaman salah mengenai pengumpulan maklumat hutang dan kredit dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kendalian Bank Negara Malaysia (BNM).

Antara salah faham besar itu termasuklah percaya penyenaraian nama dalam CCRIS merupakan senarai hitam dan menyebabkan mereka dihalang daripada ke luar negara serta tidak boleh membuat pinjaman bank.

Pengurus Besar Bahagian Operasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nor Fazleen Zakaria, menegaskan CCRIS tidak menimbulkan halangan, selagi orang ramai membayar hutang dimiliki mengikut jadual.

“Ramai beranggapan, jika nama tersenarai dalam CCRIS, ia menghalang mereka daripada membuat pinjaman baharu serta melancong atau pergi ke luar negara.

“Hakikatnya, peminjam hanya perlu membayar balik sebarang pinjaman dimiliki secara konsisten, supaya CCRIS tidak merekodkan nama mereka dengan prestasi buruk itu.

“Ini kerana CCRIS mengumpul dan menyimpan semua data berkaitan kredit atau hutang, milik individu atau syarikat dengan bank serta institusi lain, termasuk rekod bayaran balik selama 12 bulan sebelum dirujuk semua institusi terbabit, setiap kali orang ramai membuat permohonan pinjaman baharu,” katanya.

Nor Fazleen berkata, rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara tetapi berdepan halangan kerana masalah hutang atau diisytiharkan bankrap, boleh mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Katanya, AKPK juga menawarkan khidmat bagi membantu golongan dewasa termasuk graduan negara ini, untuk memahami dan mempelajari bagaimana menguruskan kewangan masing-masing dengan lebih baik.

“Selain daripada memberi tumpuan terhadap perkhidmatan penstrukturan semula pinjaman yang dimiliki mereka, AKPK juga berusaha mendidik masyarakat dalam pengurusan kewangan peribadi yang lebih cekap,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY