KUALA LUMPUR, 9 Ogos  – Rampas….Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) merampas barangan bernilai RM18.6 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu melebihi nilai rampasan setahun yang diperoleh Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) pada 2014, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk tempoh sejak mula beroperasi pada November 2015 hingga akhir tahun lepas pula, agensi itu mencatatkan nilai rampasan barangan sebanyak RM38.9 juta.

“Momentum kejayaan ini diyakini akan memberi impak baik melalui mandat yang dicadangkan melalui Rang Undang-undang (RUU) Aksem ini,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata melalui RUU yang dicadangkan itu, dua jawatankuasa khas akan diwujudkan di peringkat Aksem iaitu Jawatankuasa Penyelaras dan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang melibatkan keanggotaan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Jelasnya Jawatankuasa Penyelaras akan bertanggungjawab merumus semua program pencegahan penyeludupan, memantau dan mengawal kegiatan penyeludupan dan memperakukan syor kepada Jawatankuasa Peringkat Tertinggi untuk dipertimbang pelaksanaannya.

Menurut Ahmad Zahid, Jawatankuasa Peringkat Tertinggi pula akan menimbang dan meluluskan syor yang dibuat Jawatankuasa Penyelaras, selain bertindak memutuskan apa-apa perkara yang berhubung dengan keselamatan sempadan negara.

“Pewujudan kedua-dua jawatankuasa ini akan memberi peluang kepada pelbagai pihak khususnya agensi-agensi berkaitan untuk bersama-sama memberi pandangan dan berkongsi pengalaman serta kepakaran bagi menentukan usaha pencegahan yang bersesuaian serta tindakan penguatkuasaan yang lebih mantap.

Berikutan struktur baharu yang diwujudkan melalui RUU Aksem ini adalah lebih fleksibel, ia membolehkan tindakan pengukuhan dilaksanakan dari semasa ke semasa sama ada daripada aspek kekuatan keanggotaan mahupan pelaksanaan dasar-dasar baharu yang ditetapkan bagi menambah baik langkah kawalan serta pencegahan yang dilaksanakan,” katanya.

RUU Aksem dicadangkan Kementerian Dalam Negeri untuk memantapkan penyelarasan operasi kawalan sempadan darat oleh agensi-agensi berkaitan dan membolehkan Aksem bergerak sendiri secara menyeluruh dalam memastikan kawalan sempadan dilaksanakan dengan lebih berkesan. – WD MY