KUALA LUMPUR, APRIL 12:AKTA…Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara awal bulan ini, digazetkan semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Berucap pada majlis pelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA), beliau menolak kebimbangan sebilangan para wartawan kononnya akta baharu itu akan digunakan untuk menyekat kebebasan mereka dalam melaporkan berita.

“Tetapi saya ingin maklumkan, pandangan ini tidak tepat lagi, tidak benar kerana antaranya, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, melalui Seksyen 8A telah menjadi kesalahan untuk menyiarkan berita palsu.

“Meskipun terdapat peruntukan undang-undang sedia ada, masalah bagi membendung penyebaran berita tidak benar, tidak dapat dikawal secara efektif dan menyeluruh, berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas serta kompleks,” katanya.

Najib berkata akta tersebut adalah berpaksikan kepentingan rakyat bertujuan melindungi orang awam daripada penyebaran berita tidak benar selain ia berunsur pencegahan yang mana setiap individu hendaklah bertanggungjawab terhadap perkongsian maklumat yang benar dan sahih.

Beliau berkata akta itu juga tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara.

Bercakap di hadapan kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh tanah air, perdana menteri menegaskan kerajaan sentiasa memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan telah melaksanakan kebebasan media melalui pelbagai langkah transformasi.

Katanya ia termasuk pelaksanaan transformasi undang-undang seperti melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012, selain transformasi media dengan memansuhkan lesen mencetak dan permit percetakan.

“Ini ternyata berbeza dengan track record kebebasan bersuara di zaman pemimpin utama pembangkang masa kini, yang dulunya pernah memerintah negara ini selama 22 tahun,” katanya.

Sebagai contoh, Najib berkata Operasi Lalang atau Ops Lalang pada 1987, menyaksikan lebih 100 orang ditahan tanpa bicara di bawah ISA, dan tiga akhbar waktu itu – The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan digantung permit penerbitan.

“Pemimpin yang pernah memerintah 22 tahun itu juga turut dikecam oleh Jawatankuasa Melindung Wartawan di peringkat dunia, sebagai salah seorang daripada 10 ‘enemies of the press’ (musuh media), tiga tahun berturut-turut pada 1999, 2000 dan 2001,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata walaupun kerajaan masa kini memberi ruang kebebasan bersuara dan media, ia haruslah berasaskan tiga perkara utama iaitu disertai dengan sifat tanggungjawab, berasaskan kebenaran dan mengikut tafsiran citra serta budaya tempatan, bukannya mengikut acuan barat.

“Kebebasan bersuara dan media itu mesti ada hadnya serta kebebasan tersebut tidak seharusnya menjurus kepada penyebaran berita-berita tidak benar lagi tidak sahih, sehingga sampai mengorbankan aspek lebih utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam serta kestabilan negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

Bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’, penganjuran Hawana bertujuan mendapatkan pengiktirafan negara dan penghargaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat. MY WD