KUALA LUMPUR, 14 Dis – PINDAAN…. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 berkuat kuasa pada 15 Disember ini.

Perkara itu adalah berdasarkan subsekysen 1(2) Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (Akta A1549).

Ahmad Zahid berkata, pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) bertujuan untuk memperkemaskan dan menambah baik pelaksanaan serta penguatkuasaan peruntukan akta itu terutamanya berkaitan pemakaian peranti pemantauan elektronik (EMD) dengan memperincikan lagi syarat-syarat pemakaian alat itu ke atas orang pengawasan.

“Selaras dengan pindaan ini juga, Jadual Kedua Akta 297 dipinda dengan memasukkan kesalahan baharu yang boleh diambil tindakan membabitkan penggunaan EMD berkenaan.

“Pindaan ini akan membolehkan pihak polis mengambil tindakan pencegahan yang lebih berkesan ke atas orang-orang yang melakukan kesalahan tersenarai di bawah Jadual Kedua yang dipinda,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, dengan kuasa yang diperuntukkan kepadanya di bawah seksyen 22 Akta 297, beliau turut menetapkan Perintah Pencegahan Jenayah (Pindaan Jadual Kedua) 2017 dan Perintah Pencegahan Jenayah (Pindaan Jadual Ketiga) 2017 berbangkit daripada Akta 297, untuk berkuatkuasa pada 15 Disember ini. – WD MY