KUALA LUMPUR, 23 MAC – BAPA… Penyanyi, Adira dan kakaknya, Emma, kehilangan bapa tercinta, Suhaimi Rajiman, yang menghembuskan nafas terakhir, kelmarin.

Perkara itu disahkan Emma yang juga penyampai radio di Sabah menerusi akaun Facebook (FB) miliknya pada hari sama.

“Selamat jalan Abah.. semoga tenang di sana.

“Biarpun tidak membesar dengan Abah, rasa sayang sebagai anak selalu ada di hati.. dalam diam tetap sayang.

“Al-Fatihah buat Abah. Minta kawan-kawan sudi sedekahkan Al-Fatihah buat abah saya, ‘Suhaimi’,” luahnya tanpa menyatakan butiran lanjut mengenai pemergian bapa mereka.

Menerusi perkongsian itu, Emma yang menyertai Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) bersama-sama Adira turut memuat naik gambar kenangan bersama arwah.

Perkongsiannya meraih perhatian peminat dan rakan terdekat yang turut mendoakan Allahyarham.

Sementara itu, Adira pula berkongsi gambarnya menziarahi pusara arwah bapanya, sebentar tadi, dengan kapsyen berbunyi: “Kukirimkan doa buat Abah tersayang, semoga tenang di alam syurga…” – WD MY