KOTA BHARU, 7 Mac – MENINGGAL DUNIA….. Kakak kepada Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, malam tadi.

Fauziah Musa, 73, meninggal dunia pada jam 10.07 malam akibat penyakit strok.

Anak sulungnya, Fuzilah Hasan, 54, berkata arwah anak kedua daripada tujuh beradik sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM sejak dua minggu lalu akibat penyakit strok.

“Selama dua minggu di HUSM, arwah tidak sedarkan diri dan dalam keadaan koma sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga malam tadi.

“Arwah sebelum ini turut mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Apapun, kami tujuh beradik reda dengan pemergian arwah ibu. Ibu seorang yang penyayang dan sentiasa berpesan kepada kami supaya jangan tinggal solat,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, jenazah arwah akan disembahyangkan di Masjid Tok Guru Haji Musa, Bukit Marak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lati, Bukit Marak, di sini pada jam 11.30 pagi ini. -WD MY