BEIRUT, 24 Julai – Sebar…….. Kumpulan serpihan Al-Qaeda mengukuhkan cengkaman di wilayah Idlib, Syria selepas beberapa kumpulan penentang berundur dari salah satu kawasan terakhir di luar kawalan rejim.

Pada masa sama, 11 orang maut akibat letupan bom di bandar itu. Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) di Britain berkata, sembilan daripada mereka adalah militan.

Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang dikawal bekas anggota Al-Qaeda bersetuju dengan gencatan bersama pemberontak Ahrar al-Sham.

Gencatan itu menghentikan pertempuran sengit selama seminggu di antara HTS dan pemberontak disokong Turki dan beberapa negara Teluk, Ahrar al-Sham yang mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 92 orang termasuk 15 penduduk awam, kata SOHR.

Penganalisis berkata, ketegangan semakin meningkat sejak dua bulan lalu mungkin kerana HTS bimbang dengan rancangan antarabangsa untuk menghapuskan kumpulan yang dilabel sebagai pengganas dari wilayah terbabit.

“Ahrar al-Sham berundur dari bandar Idlib yang kini di bawah kawalan Hayat Tahrir al-Sham. Beratus-ratus pemberontak meninggalkan bandar itu dengan berpuluh-puluh kenderaan ke arah wilayah selatan Idlib,” kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman. – WD MY