MELAKA, 22 Nov – Ubah Aliran…… Aliran trafik di kawasan pelancongan Bandar
Hilir di sini antaranya melibatkan Jalan Merdeka/Garden City berhampiran Hotel
Equatorial akan diubah suai bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan
tersebut.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Hussin
berkata sehubungan itu, pengubahsuaian trafik itu akan melalui tempoh percubaan
selama tiga bulan bermula 1 Dis depan, bagi menilai tahap keberkesanannya.
Beliau berkata pengubahsuaian sementara ini juga bagi mengkaji langkah
terbaik untuk menyurai kesesakan lalu-lintas yang maksimum di kawasan tersebut
terutama apabila pembangunan Hatten City siap sepenuhnya nanti, yang dijangka
menyumbang pertambahan 4,000 kenderaan.
“Berdasarkan rekod, kira-kira 10,000 kenderaan akan melalui jalan berkenaan
sehari terutama menuju ke arah Hotel Equatorial dan sudah tiba masanya untuk
kita melaksanakan satu kajian untuk mengurangkan kesesakan berkenaan,” katanya
pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zainal berkata pengubahsuaian aliran itu akan menyebabkan aliran trafik di
Jalan Merdeka/Garden City yang merupakan jalan sehala ditukar ke jalan dua hala
dan kenderaan dari arah Garden City, selepas Balai Polis Bandar Hilir, tidak
dibenarkan membelok ke kanan untuk menuju ke Jalan Merdeka.
Beliau berkata semua kenderaan ringan yang ingin ke Jalan Merdeka dari Jalan
Garden City boleh membuat pusingan ‘U’ untuk menuju ke jalan berkenaan manakala
kenderaan berat perlu menggunakan simpang ke Pulau Melaka atau bawah Jambatan
Syed Abdul Aziz untuk menuju ke Taman Melaka Raya.
“Kita juga akan memasang dua lampu isyarat baharu iaitu di persimpangan dari
Jalan Banda Hilir ke Melaka Raya dan Melaka Raya ke Bukit Senjuang yang
melibatkan kos RM180,000,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan mengumpul data berkaitan jumlah kenderaan yang
melalui jalan terlibat dan peratusan pengurangan kesesakan aliran trafik
sepanjang tempoh percubaan tersebut.
Katanya aliran trafik itu akan dikekalkan sekiranya ia berjaya mengurangkan
kesesakan di kawasan sekitar jalan tersebut, dan jika gagal, satu kajian aliran
trafik lain akan dilakukan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta memberi kerjasama dan mengikut
tanda arah atau panduan yang akan diletakkan di jalan terlibat selain mematuhi
arahan anggota trafik yang akan membantu memantau kelancaran lalu-lintas. – WD MY