KUALA LUMPUR, 12 Nov – UNIVERSITI……. Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah meminta alumni universiti supaya membantu dan kembali menyumbang kepada universiti dalam usaha memperkasakan pendidikan.

Baginda bertitah para alumni merupakan produk keluaran universiti yang akan menjadi contoh ikutan kepada mahasiswa dan kehadiran mereka di universiti boleh mencetuskan suasana harmoni dan persekitaran akademia yang aktif.

“Justeru, walaupun sudah bergelar alumni, jenguklah universiti tempat anda menimba ilmu dan pengalaman. Ringankanlah tangan untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam apa jua bentuk kepada tempat anda menuntut ilmu. Tidak kira sama ada secara material mahupun secara modal insan.

“Sesungguhnya, manfaat dan kebaikan daripada pemberian tersebut akan kembali semula kepada mereka yang memudahkan urusan orang lain,” titah baginda pada majlis Santapan DiRaja-UTM Royal Gala Dinner 2017 malam tadi.

Pada majlis itu, Raja Zarith Sofea yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan tabung UTMCares, yang mengumpul sumbangan berjumlah RM1.5 juta daripada beberapa syarikat, bagi membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan.

 

Permaisuri Johor turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat-syarikat korporat prihatin dan komited membantu pihak univeristi menjayakan agenda akademia.

Baginda bertitah sumbangan berkenaan amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan kerana ia memberi peluang kepada ahli akademik mahupun mahasiswa menjalankan pelbagai aktiviti kesarjanaan tanpa perlu bimbangkan bebanan kos dan seterusnya membantu merancakkan sektor pendidikan dan penyelidikan di negara ini.

“Sebagai timbal balas, aktiviti kesarjanaan yang dilaksanakan seharusnya memberi manfaat secara langsung kepada pemain industri,” titah baginda.

Raja Zarith Sofiah turut memuji pendekatan Kementerian Pendidikan Tinggi yang memperkenalkan Program CEO@Faculty, yang dapat merapatkan lagi ikatan di antara universiti dan industri.

“Perkongsian pengalaman, idea dan kepakaran oleh ketua-ketua eksekutif korporat kepada para pelajar di universiti ini dapat mewujudkan rantaian kerjasama strategik pada masa hadapan,” titah baginda. – WD MY