KUALA LUMPUR, 4 MAC – TINDAKAN… Belum reda isu penghinaan terhadap Rasulullah ﷺ, semalam muncul pula pemilik akaun Twitter menggunakan nama ‘Alvin Chow’ menghina bangsa Melayu dan mencaci Nabi Muhammad.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

Sekretariat UMMAH, Izzat Johari berkata, pihaknya turut mengajak seluruh umat Islam membuat laporan polis secara bersama serentak di seluruh negara.

“Alvin Chow masih mencabar kesabaran umat Islam di Malaysia setelah kita berhimpun di seluruh negara sejak hari Jumaat yang lalu, dia masih berani menghina Nabi Muhammad,” katanya.

Terdahulu, pemilik akaun Foo Sing Wai melakukan perkara sama apabila memuat naik karikatur berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad  dan isteri Baginda, Saidatina Aishah.

Lelaki berbangsa Cina berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dia dipenjara selepas gagal membayar wang jaminan RM20,000 yang diperintahkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 27 Februari lalu. – WD MY