SHAH ALAM, 29 Julai – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberi amaran keras kepada penganjur protes yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur, Sabtu ini supaya jangan menggugat keselamatan negara.

Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang dengan mengajak rakyat ke jalanan untuk menjatuhkan kerajaan seperti yang mahu dicapai oleh penganjur protes itu.

Katanya, maklumat mengenai protes itu yang tersebar menerusi media sosial juga akan disiasat pihaknya dan mengingatkan penganjur supaya segera menafikan perkara tersebut jika ia tidak benar.

“Kita ada undang-undang dan bukan boleh buat sebarangan untuk jatuhkan kerajaan,” kata Khalid.

“Kita ada cara ikut perlembagaan untuk tukar kerajaan, itu peringatan saya yang terakhir,” katanya.

Khalid ditemui media pada majlis sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Selangor hari ini.

Beliau mengulas penyebaran maklumat berhubung protes itu yang dirancang diadakan di sekitar sebuah pusat beli-belah di ibu negara untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

Khalid berkata, sekiranya penganjur protes itu masih tidak mahu bertanggungjawab tentang penyebaran maklumat mengenainya, siasatan akan dijalankan dan mereka bakal berdepan tindakan tegas oleh polis.

Katanya, sebarang perhimpunan di negara ini boleh dianjurkan namun mereka mesti patuh kepada Akta Perhimpunan Aman 2012.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY