WASHINGTON, 9 Jan – USIR….. 200,000 pendatang El Salvador yang dibenarkan tinggal dan bekerja di Amerika Syarikat (AS) sejak 2001, akan kehilangan hak untuk kekal di negara ini pada 2019.

Ia adalah langkah terbaru pentadbiran Trump untuk mengetatkan penguatkuasaan imigresen.

AS akan menamatkan status perlindungan sementara warga El Salvador (TPS) pada 9 September 2019, memberi mereka 18 bulan untuk keluar atau mencari tempat tinggal sah dan untuk El Salvador bersedia menerima kepulangan mereka, kata pegawai.

Status itu diberi selepas dua gempa bumi dahsyat pada 2001 di El Salvador yang menyebabkan ribuan orang di negara berkenaan kehilangan tempat tinggal.

Keputusan mengakhiri TPS untuk warga El Salvador adalah sebahagian daripada langkah meluas pentadbiran AS untuk mengetatkan undang-undang imigresen dan mengusir mereka yang tinggal di negara itu secara haram.

Tindakan itu dikritik hebat pejuang hak asasi pendatang yang mengatakan ia mengabaikan keganasan di El Salvador dan tidak memberi pilihan warga negara itu selain meninggalkan AS atau kekal secara haram.

Warga Haiti dan Nicaragua juga akan kehilangan status perlindungan pada 2019 manakala rakyat Honduras, kumpulan kedua terbesar dalam program berkenaan, dijangka kehilangan hak mereka menjelang akhir tahun ini.

Sepanjang dua tahun lalu, AS menghantar pulang 39,000 rakyat El Salvador kembali ke negara itu. Ia menunjukkan keupayaan negara berkenaan untuk menyerap kemasukan warganya, kata pegawai itu.

Kerajaan El Salvador berkata, ia gembira pentadbiran memutuskan untuk sekurang-kurangnya menamatkan program itu hingga September 2019.

“Kementerian Luar Negeri El Salvador melobi untuk kepentingan rakyat,” kata kerajaan dalam satu kenyataan, sambil menambah ia akan terus mencari penyelesaian alternatif dan berharap Kongres AS dapat bertindak untuk melindungi pendatang. – WD MY