WASHINGTON, 23 Julai – Sepakat…… Anggota Republikan dan Demokrat mencapai kata sepakat berhubung perundangan yang membolehkan sekatan baharu ke atas Russia, Iran dan Korea Utara.

Berikutan pengenalan rang undang-undang itu, ia akan mengehadkan sebarang kemungkinan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump cuba menarik balik sekatan terhadap Moscow.

Akta Menangani Aktiviti Keganasan Iran yang diluluskan Senat sebulan lalu, digantung Dewan Perwakilan selepas Republikan mencadangkan memasukkan sekatan ke atas Korea Utara dalam akta berkenaan.

Dewan dijangka mengadakan undian Selasa ini mengenai pakej rang undang-undang sekatan ke atas Russia, Iran dan Korea Utara.

Pemimpin Majoriti Dewan, Kevin McCarthy, berkata langkah itu akan meletakkan tanggungjawab di atas negara berkenaan kerana tindakan berbahaya mereka.

Mengikut rang undang-undang itu, presiden AS perlu membentangkan kepada Kongres satu laporan tindakan yang akan ‘mengubah suai’ dasar luar negara itu berkaitan dengan Russia.

Selain itu, melonggarkan sekatan atau mengembalikan hartanah diplomatik di Maryland dan New York yang diarahkan dikosongkan oleh bekas Presiden Barack Obama Disember lalu.

Kongres mempunyai masa 30 hari untuk mengadakan sesi pendengaran dan mengundi untuk menerima atau menolak perubahan yang dicadangkan Trump.

Ramai ahli perundangan berharap undang-undang itu akan memberi mesej jelas kepada Trump supaya bertegas dengan Russia. – WD MY