CAMP BONIFAS, 17 April – Kerjasama…… Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menegaskan China kini bekerjasama dengan negaranya bagi menguruskan ‘masalah Korea Utara’.

Naib Presiden, Mike Pence mengunjungi sebuah pangkalan tentera berhampiran Zon Bebas Tentera (DMZ), kawasan yang memisahkan kedua-dua Korea sehari selepas ujian peluru berpandu gagal oleh Pyongyang.

Pence yang sebelum ini menyifatkan pelancaran peluru berpandu itu sebagai ‘satu provokasi’, tiba di sini pagi ini untuk menghadiri taklimat dengan pemimpin tentera dan bertemu askar AS yang ditempatkan di sana.

Kem tentera bersama AS dan Korea Selatan itu terletak di luar DMZ, kawasan selebar empat kilometer. Lawatan Pence seolah-olah simbolik Perang Dingin, dilakukan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Semenanjung Korea.

Walaupun Korea Utara tidak menjalankan ujian nuklear, kemungkinan tindak balas AS tidak mustahil ketika Pence memulakan kunjungan 10 hari ke Asia.

Penasihat keselamatan negara Trump, Herbert Raymond ‘H R’ McMaster pula mengaitkan serangan peluru berpandu di Syria sebagai isyarat Trump kini sudah semakin ‘selesa membuat keputusan sukar’.

Namun pada masa sama, McMaster berkata, ‘ini adalah kali pertama pihaknya mengambil semua tindakan termampu untuk cuba menyelesaikan perkara itu secara aman.’

Dalam satu temu bual disiarkan semalam, McMaster berkata, AS akan bergantung kepada sekutunya serta kepimpinan China bagi menyelesaikan isu Korea Utara.

“Maksud saya, Korea Utara mudah dipengaruhi tekanan daripada China,” kata McMaster. – WD MY