BEIRUT, 25 April – Pertenpuran…. Serangan udara mengorbankan lapan sekeluarga, lima daripadanya kanak-kanak ketika melarikan diri daripada pertempuran antara pasukan Syria sekutu Amerika Syarikat (AS) dan militan Daesh hari ini.

Aktivis tempatan mendakwa, serangan dilancarkan pakatan diketuai AS.

Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), keluarga malang itu melarikan diri daripada pertempuran di bandar utara Syria di Tabqa apabila kenderaan mereka terkena serangan dengan mangsa kanak-kanak berusia antara enam bulan dan 15 tahun.

Kumpulan aktivis Raqqa is Being Slaughtered Silently (Raqqa Dibunuh Secara Senyap) juga melaporkan serangan itu, mengatakan keluarga terbabit terbunuh.

Pasukan Demokratik Syria (SDF) disokong AS yang termasuk pejuang Arab, cuba mengusir Daesh daripada Tabqa sebelum bergerak ke Raqqa, ibu kota de facto kumpulan militan terbabit. Tabqa terletak 40 kilometer dari barat daya Raqqa.

Sementara itu, pemimpin al-Qaeda menggesa pengikutnya dan militan lain di Syria untuk bersatu dan bersiap sedia melakukan jihad terhadap apa yang digelar ‘pakatan syaitan antarabangsa,’ merujuk kepada kerajaan Syria, sekutunya Russia dan AS, kesemuanya yang menyasar kumpulan itu. -WD MY