KUALA LUMPUR, 21 Nov – Sebentar tadi, Malaysia dan Amerika Syarikat bersetuju
menjadikan Malaysia sebagai Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui
Komunikasi (RDG3) bagi memerangi ekstremisme melampau di rantau ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedua-dua negara itu
mempunyai pendirian sama dalam memerangi ekstremisme melampau dan bersetuju
bekerjasama rapat dalam menjadikan rantau ini lebih selamat.

Perkara berkenaan diputuskan selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Barack
Obama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam semalam.

Najib menegaskan bahawa rantau ini tidak terkecuali daripada ancamam
keganasan melampau kerana terdapat kumpulan-kumpulan yang beroperasi di rantau
ini serta menjadi sekutu kumpulan militan IS.

“Oleh itu kita akan bekerjasama rapat dengan Amerika dan negara-negara yang
berpendirian sama dengan kita bagi menjadikan rantau ini lebih selamat dan
menentang sebarang bentuk ekstremisme melampau,” katanya pada sidang media
bersama presiden Amerika Syarikat itu selepas pertemuan selama 45 minit itu.

Najib berkata inisiatif penubuhan pusat memintas mesej itu adalah penting
kerana memerangi ekstremisme melampau bukan sahaja memerlukan kekuatan
ketenteraan malah perlu memikat hati dan minda rakyat.

“Sebab itu adalah penting bagi kita untuk mematahkan dakyah kumpulan militan
serta menyampaikan ajaran Islam yang sebenar supaya masyarakat akan sedar apa
yang IS cuba melakukan untuk memesong ajaran Islam,” katanya.

Najib berkata Malaysia komited untuk meneruskan usaha-usaha bagi mempaparkan
ajaran Islam yang sebenarnya.

Bagi Presiden Obama, beliau mengiktiraf suara Malaysia sebagai kritikal dalam perdebatan mengenai keganasan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia dan Indonesia, sebagai negara majoriti penduduk
Islam melambangkan toleransi dan keamanan.

Obama turut mengalu-alukan kesediaan Malaysia untuk menghoskan pusat
serantau itu dengan menggunakan semua peralatan serta melibatkan cendekiawan dan
ulama bagi menyekat penyebaran ideologi keganasan melampau.

“Kami tidak sabar untuk bekerja dengan mereka (Malaysia) mengenai penubuhan
pusat ini,” katanya.-Faizal Dato Badarudin

LEAVE A REPLY