YANGON, 16 Dis – MEDIA….. Amerika Syarikat (AS) menuntut dua wartawan dari agensi berita Reuters yang ditahan di negara ini, dibebaskan segera.

Setiausaha Negara, Rex Tillerson, berkata kerajaan turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan mereka untuk tampil ke hadapan.

Kehilangan kedua-dua wartawan terbabit menerima kecaman hebat banyak pihak, antaranya Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), United Kingdom, Sweden dan Bangladesh.

Kedua-dua wartawan berkenaan, Wa Lone, 31 dan Kyaw Soe Oo, 27, dilaporkan hilang Selasa lalu selepas menerima jemputan makan malam beberapa pegawai polis di pinggir utara Yangon.

Mereka sebelum itu terbabit dalam laporan operasi tentera di wilayah Rakhine, yang menyaksikan perpindahan lebih 600,000 etnik Rohingya ke Bangladesh sejak akhir Ogos lalu.

Sehingga semalam, Reuters masih tidak dihubungi secara rasmi oleh mana-mana pegawai dari kerajaan Myanmar untuk memaklumkan mengenai penahanan kedua-dua wartawan itu.

Kementerian Penerangan dalam satu kenyataan berkata, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo telah memperoleh maklumat secara haram dengan niat untuk berkongsi maklumat terbabit bersama media asing.

Kementerian terbabit turut menyiarkan gambar kedua-dua wartawan itu dalam keadaan bergari. – WD MY