BAITULMAQDIS, 4 MAC – TUTUP…. Amerika Syarikat (AS) secara rasminya menutup konsulatnya di sini, sekali gus mengehadkan status misi diplomatik utama yang mewakili rakyat Palestin apabila ia digabungkan dengan Kedutaan AS ke Israel.

Konsulat yang berfungsi sebagai kedutaan de facto kepada rakyat Palestin sejak beberapa dekad lalu, kini akan ditangani unit hal ehwal Palestin, di bawah arahan kedutaan terbabit.

Peralihan simbolik itu menyaksikan penyerahan kuasa kepada saluran diplomatik AS di mana Tebing Barat dan Gaza kini berada di bawah seliaan duta David Friedman.

Friedman adalah penyokong dan pengumpul dana utama pergerakan peneroka Tebing Barat selain pengkritik tegar kepimpinan Palestin.

Pengumuman oleh Jabatan Negara itu dibuat awal hari ini di Baitulmaqdis serentak dengan proses penggabungan terbabit.

“Keputusan ini didorong oleh usaha global untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan serta operasi diplomatik kami,” kata jurucakap Jabatan Negara, Robert Palladino dalam satu kenyataan.

“Ia bukan bermaksud wujudnya perubahan dasar AS ke atas Baitulmaqdis, Tebing Barat, atau Semenanjung Gaza.”

Tahun lalu AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya ke sana, memaksa Palestin memutuskan hubungan dengan sebahagian besar pentadbiran itu.

Pentadbiran itu juga menghentikan bantuan kemanusiaan bernilai ratusan juta dolar kepada rakyat Palestin, termasuk bantuan kepada hospital dan program pembangunan perdamaian. – WD MY