PETALING JAYA, 12 Nov – Tidak Layak Bercakap….. Tunjuk perasaan dan keganasan dilakukan rakyat Amerika Syarikat (AS) sebagai protes terhadap kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Rabu lalu menunjukkan negara besar itu tidak layak bercakap mengenai soal demokrasi.

Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, berkata kempen dijalankan AS untuk mempromosikan konsep demokrasi dan kebebasan yang diamalkan negara itu ternyata gagal apabila rakyatnya memprotes keputusan pilihan raya presiden negara itu.

Katanya, perkembangan yang berlaku di AS itu sepatutnya menjadi satu titik kesedaran penting kepada masyarakat dunia termasuk rakyat di negara ini bahawa konsep demokrasi dipromosi negara itu tidak matang dan mempunyai muslihat tertentu.

“Selama ini AS mempromosi, memberi dana dan membiayai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara lain memperjuangkan demokrasi ala mereka tetapi matlamat mereka sebenarnya hanya mahu menukar rejim pemerintahan secara tidak sah mengikut perlembagaan, seperti berlaku di negara ini menerusi NGO BERSIH.

“Hari ini kita dapat saksikan di AS, rakyatnya sendiri memprotes dan berdemonstrasi membantah keputusan pilihan raya presiden negara itu. Ini sesuatu yang ‘inmature’.

“Ini tanda AS tidak layak bercakap soal demokrasi,” katanya pada sidang media, hari ini. – WD MY