KUALA LUMPUR, MEI 25: CAHAYA MATA… Hasrat rocker legenda tanah air, Amy Search untuk menimang seorang lagi cahaya mata pada usia 60 tahun dimakbulkan oleh Allah apabila isterinya, Nourish disahkan hamil.

Berkongsi kegembiraan itu, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman berkata, tiada apa yang mampu dizahirkan beliau ketika ini selain memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga pada Allah kerana mendapat berita itu pada bulan Ramadan.

“Susah nak cakap betapa gembiranya saya kerana hajat untuk mendapat anak pada usia 60 tahun dimakbulkan oleh Allah. Saya terlalu teruja sehinggakan senyuman kegembiraan tidak lekang-lekang terukir,” kata Amy.

Menurut Amy, beliau dan isteri, Nourish atau nama sebenarnya, Norhasliza Hassan, 37, mengetahui berita kehamilan itu minggu lalu.

Kata penyanyi lagu Isabella itu, keterujaan untuk menimang cahaya mata keenam kali ini selepas kali terakhir dikurniakan anak sembilan tahun lepas sesuatu yang amat bermakna.

“Anak-anak yang lain juga gembira mendengar berita ini. Insya-Allah orang baharu akan hadir menjelang Januari tahun depan.

“Saya dan isteri terlalu bersyukur dan kami mengharapkan semua peminat sama-sama mendoakan agar kehamilan Nourish kali ini berjalan baik dan kami dikurniakan anak yang sihat serta sempurna,” ujar Amy lagi.

Lima cahaya mata Amy sebelum ini ialah Nabila Huda, Irisha Myra, Alexander Zulkarnain, Sania Samara dan Qaqa At-Tameemi.-MY WD