KUALA LUMPUR, 19 Jun – MENGAKU… Anak seorang menteri yang ditahan bersama 101 individu di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, awal Januari lalu, sudah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini, pada 13 Jun lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat, berkata tertuduh berusia 31 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Bagaimanapun, katanya, tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM3,000 sementara menunggu tarikh perbicaraan, bulan depan.

Pada 5 Januari lalu, anak menteri terbabit ditahan dalam serbuan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 3 pagi.

Difahamkan, dia bersama rakannya berusia 33 tahun sedang berhibur ketika operasi dijalankan dan ujian saringan air kencing awal dilakukan terhadap lelaki itu kemudian mendapati dia positif dadah jenis ganja. – WD MY