Anak Pemain Gitar Terkenal Ditahan Kerana Kendali Aktiviti Pelaburan Haram

0
112

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – TAHAN…. Seorang anak lelaki kepada pemain gitar terkenal negara ditahan dipercayai terbabit mengendalikan aktiviti pelaburan haram di Jalan Tun Razak di sini, Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk A Thaiveegan, berkata lelaki berusia 33 tahun itu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelaburan itu, ditahan pada jam 5.15 petang.

“Polis turut merampas pelbagai dokumen berkaitan pelaburan syarikat itu yang menawarkan pelaburan produk kecantikan dan kesihatan atas nama pemain gitar terkenal berkenaan,” katanya.

Katanya, syarikat itu menjanjikan keuntungan antara 20 hingga 30 peratus sebulan dengan nilai pelaburan paling rendah RM3,000.

Thaiveegan berkata, sebanyak 89 laporan polis dibuat terhadap syarikat itu dengan nilai kerugian mencecah RM1 juta.

Polis turut mengesan beberapa individu lain berhubung kes itu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penganjur skim pelaburan haram yang menjanjikan tawaran pulangan yang tinggi dan tidak munasabah dalam masa singkat. – WD MY