KUALA LUMPUR, 27 MAC – Anak Pengarang Bersekutu Malay Mail, Zainal Epi, ditemui mati di sebuah tasik di Hyde Park, London pada Isnin.

Zainal ketika dihubungi mengesahkan anak bongsunya, 23, yang merupakan penuntut di Imperial College London, dikenal pasti berdasarkan kad pelajar yang ditemui pada Allahyarham.

Menurut Zainal, beliau menerima perkhabaran tersebut daripada pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London awal pagi hari ini.

Menurutnya lagi, beliau tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung kematian anaknya kecuali dimaklumkan tentang penemuan mayat dalam tasik.

Zainal berkata beliau dan anggota keluarganya akan berlepas ke London esok.

Jenazah akan dikebumikan di London, katanya.

Allahyarham merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik dan belajar jurusan kimia di Imperial College London sejak 2015.

Laporan berita dailymail.com.uk menyebut mayat seorang lelaki ditemui dalam tasik di Hyde Park pada 25 Mac lali dan polis menyifatkan kes itu sebagai kematian yang tidak dapat dijelaskan puncanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya hari ini berkata Muhammad Hafiz Zainal adalah seorang pelajar tajaannya.

JPA berkata Pejabat Penasihat Latihan (PPL) JPA di London dengan kerjasama pihak Konsular Suruhanjaya Tinggi Malaysia London akan membantu dari segi urusan keluarga dan pengurusan jenazah Muhammad Hafiz.

“JPA telah menghubungi dan menziarahi keluarga pelajar serta menguruskan urusan pemergian keluarga pelajar ke London yang dijangka berlepas esok,” kata JPA. – WD MY