KUALA LUMPUR, 18 Jan – SAMAN…. Anak syarikat milik penuh tidak langsung PROTON Holdings Bhd, Proton Automobiles China Ltd (PACL) berdepan saman sivil yang menuntut 860.61 juta renminbi (RM522.9 juta) di Mahkamah Tinggi Guangdong, China.

PACL dan satu lagi unit PROTON, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan yang dihantar oleh Goldstar Heavy Industrial Co Ltd.

Kedua-dua anak syarikat PROTON itu perlu hadir di mahkamah pada 9 Julai ini.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini, DRB-Hicom Bhd berkata tuntutan adalah berkaitan kontrak yang dimeterai antara anak syarikat 50.1 peratus PROTON, Lotus Group International Ltd (LGIL) dan Goldstar pada 17 April 2015 untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) Goldstar Lotus Automobile Co Ltd (GLAC).

Kepentingan PROTON dalam GLAC adalah 40 peratus, LGIL (10 peratus) dan Goldstar (50 peratus).

GLAC dirancang untuk mengeluar dan menjual kereta serta alat ganti Lotus, selain menyediakan perkhidmatan selepas jualan di China.

Bagaimanapun, selepas gagal mendapatkan lesen pengeluaran pada tarikh akhir 31 Disember 2017, kontrak JV itu dibatalkan pada 22 Januari tahun lalu.

Berikutan itu, GLAC tidak dapat memulakan operasi perniagaannya.

DRB-Hicom berkata, syarikat itu dan penasihat undang-undangnya sedang meneliti tuntutan yang dibuat oleh Goldstar dan akan mengambil langkah yang perlu untuk mempertahankannya. – WD MY