LONDON, 11 Nov – Memperkukuhkan Hubungan Dua Hala…… Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi menamatkan lawatan kerja lima hari di United Kingdom (UK) hari ini
dengan kejayaan memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala khususnya dalam
usaha menangani isu keganasan dan isu keselamatan sejagat.
Lawatan oleh Timbalan Perdana Menteri ini turut memberi kesan positif kepada
pengukuhan hubungan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, yang pada masa
ini menyaksikan jumlah perdagangan sebanyak RM10.6 bilion pada tahun lalu dan
RM10.1 bilion dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Secara peribadinya, lawatan kali ini meninggalkan kesan mendalam kepada
Ahmad Zahid yang menjadi tokoh pertama diundang memberi syarahan umum di
Auditorum Malaysia, di bangunan baharu Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS)
Universiti Oxford, dengan ucaptamanya bertajuk “De-Rooting Radicalism and
Extremism” (Pengislahan Radikalisme dan Ektremisme).
Pada syarahan umum yang dihadiri oleh cendekiawan dan jemputan khas itu,
timbalan perdana menteri mengupas mengenai punca-punca berlakunya radikalisme,
ekstremisme dan keganasan selain memberi penjelasan terhadap salah faham oleh
masyarakat antarabangsa tentang isu itu.
Beliau turut mengesa masyarakat global supaya bersama-sama bertanggungjawab
untuk “de-root” atau mengislahkan punca-punca yang menyebabkan radikalisme,
ektremisme dan keganasan itu menular.
Dalam jadual yang agak padat sepanjang lima hari berada di UK, Ahmad Zahid
telah berkesempatan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan agensi-agensi
keselamatan selain pemain-pemain penting dalam sektor pelaburan dan perniagaan
di negara ini.
“Lawatan kali ini memperlihatkan keprihatinan United Kingdom kepada Malaysia
bukan hanya terhad kepada hubungan tradisi tetapi mereka mahu terus
memperkukuhkan jalinan hubungan antara kedua-dua negara dalam bidang-bidang
kepentingan bersama,” kata Ahmad Zahid kepada wartawan Malaysia pada akhir
lawatannya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengadakan pertemuan
pertamanya dengan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri UK yang baharu, Amber Rudd
dan perbincangan mereka menghasilkan persetujuan positif berhubung kerjasama
kedua-dua negara dalam usaha menangani isu keganasan dan isu keselamatan.
Pihak UK telah menyatakan minat dengan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah
yang dilaksanakan di Malaysia, yang dilihat mampu menjadi asas penyelesaian
kepada isu-isu yang dihadapi masyarakat Islam dunia.
UK bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk menganjurkan secara bersama satu
persidangan antarabangsa mengenai konsep kesederhanaan di sini.
Malaysia pula, katanya menyokong agar UK menjadi tuan rumah Persidangan
Antarabangsa Perhambaan Moden, susulan daripada keputusan satu perbincangan meja
bulat di New York pada 18 Sept lalu.
Menyentuh tentang syarahannya di Oxford, Ahmad Zahid berkata Malaysia dan
negara-negara Islam yang lain harus memberi penjelasan kepada masyarakat dunia
tentang punca-punca kepada masalah radikalsime, ekstremisme dan keganasan bagi
memperbetulkan salah faham pihak barat terhadap isu itu yang lebih dikaitkan
dengan Islam sedangkan agama itu menganjurkan tentang perdamaian.
“Persepsi negara barat terhadap kita (negara Islam) harus kita depani. Kita
harus memberi gambaran sebenarnya bahawa Islam tidak menggalakkan keganasan,”
katanya.
Mengenai pandangan Presiden Amerika Syarikat yang baharu dipilih Donald
Trump terhadap Islam, beliau berkata walaupun ia agak lari daripada landasan
sebenar apabila memandang dengan penuh prasangka terhadap orang Islam, namun
beliau percaya dasar yang akan dilaksanakan Trump akan lebih bersifat sederhana
dan menerima agama Islam dan orang Islam dalam perspektif yang sebenarnya dan
bukan didorong oleh emosi
Beliau juga percaya dasar luar Amerika Syarikat tidak akan banyak berubah
sama ada seorang presiden yang dipilih itu daripada parti Republican atau
Democrat kerana dasar Amerika sedia ada akan terus dikendalikan oleh
pemuka-pemuka diplomasi yang terdiri daripada diplomat yang ada di Jabatan
Negara.
“Saya yakin apa yang akan dilakukan oleh presiden baharu AS tentunya mungkin
tidak banyak lari daripada dasar sedia ada dan dengan penuh rasa positif saya
yakin usaha Malaysia untuk terus memperolehi program pengecualian visa akan
dapat dilaksanakan apabila semua syarat yang ditetapkan telah dipenuhi oleh
pihak Malaysia.