BAGAN DATOH, 9 Sept – Bukan Sengaja Diada-adakan……. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan bahawa ancaman kumpulan militan Daesh di
Malaysia bukanlah suatu manipulasi, publisiti atau sengaja diada-adakan.

“Saya ingin memberitahu rakyat bahawa ancaman Daesh ini memang benar,”
katanya di sini.

Justeru itu, beliau menasihati mereka supaya sentiasa berwaspada semasa
berada di tempat terbuka seperti pusat hiburan, rumah ibadat bukan beragama
Islam dan tempat yang menarik kunjungan ramai.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa menerusi pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga bagi
memastikan kawalan keselamatan negara terjamin.

“PDRM (Polis DiRaja Malaysia) melalui Bahagian Counter Terrorism Cawangan
Khas sentiasa melakukan pemantauan pelbagai kaedah termasuk melalui
media sosial bagi membendung pengaruh ancaman Daesh di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan 130 ekor lembu
korban sempena Aidiladha untuk diagihkan kepada masjid, surau serta
agensi kerajaan dalam Bagan Datoh.

Selain Ahmad Zahid, lembu berkenaan juga disumbangkan oleh beberapa syarikat
antaranya HeiTech Padu Berhad, Naza Group dan MyEG Services Berhad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan sebuah akhbar
hari ini mengenai tindakan ketua militan Malaysia yang berpangkalan di Syria,
Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, yang lantang mengulangi ancaman untuk terus
menimbulkan kekacauan di negara ini.

“Kita tahu ada dalam kalangan pengikut (Daesh) di Malaysia
mahu mengambil tindakan sebagaimana yang diarahkan bagi menunjukkan tentang
Katibah Nusantara, yang kononnya sebuah kerajaan Islam di nusantara meliputi
Malaysia, Indonesia, Selatan Thai, Selatan Filipina dan mungkin
juga Singapura dan Brunei.

“Atas kebersamaan pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera di
seluruh negara ASEAN, kita sentiasa berkongsi maklumat tentang apa yang Wanndy
lakukan…kita tahu arahan yang dikeluarkan Wanndy adalah arahan untuk
memperlihat barisan kepimpinan atasan Daesh di Syria dan Iraq,” katanya.

Menurutnya tindakan seperti pengeboman terbuka adalah bagi menentukan Wanndy
berada di tahap pemimpin Daesh, yang menyumbangkan keganasan dan ancaman serta
perlakuan di nusantara ini.

Ahmad Zahid juga berkata rakyat negara ini yang menyertai kumpulan militan
tidak mempunyai latar belakang agama atau pendidikan yang kukuh.

“Mereka ni orang yang kecewa terhadap sesuatu yang mereka sahaja ketahui.
Jadi, kekecewaan itu diterjemahkan dengan memperlihat eskapisme,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY