KUALA LUMPUR, 29 Nov –  Cabaran……..Ancaman liberalisme dan ekstremisme
antara cabaran yang UMNO perlu menangani bagi mengekalkan kekuatannya, kata Naib
Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden UMNO berkata parti itu
menghadapi cabaran mendepani politik negara, liberalisme dan pentafsiran
demokrasi, penentuan UMNO terus relevan, kesatuan memperkukuh parti, pengislahan
radikalisme dan extremisme, kepedulian sosial, kesejagatan ummah dan penanganan
digitalisasi.
Beliau berkata kejayaan negara bukan sahaja dicemburui pihak luar tetapi
juga dari dalam kerana sedar hanya Malaysia satu-satunya negara di dunia yang
maju, aman dan sejahtera yang diketuai kepimpinanan Islam serta bergandingan
dengan bangsa terdiri daripada pelbagai agama.
“Keadaan ini ternyata telah mencetuskan rasa kecemburuan sehingga mereka
merencanakan pelbagai asakan terhadap pemimpin parti dan kerajaan. Mereka tidak
akan puas selagi tidak melihat negara ini menjadi huru-hara, tersungkur dan
rakyat menderita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan bertajuk ‘Dasawarsa Politik Mencabar’
semasa merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pembangkang
menggula-gulakan rakyat dengan propaganda bahawa negara ini akan bankrap serta
pelbagai lagi dakwaan dan cerita-cerita palsu yang digembar-gemburkan.

“Sesungguhnya, kita seharusnya merasa risau dan gayat apabila melihat
perubahan seperti ini yang berlaku kepada masyarakat kita. Perubahan yang bukan
sahaja melibatkan perubahan strata sosial malah lebih membimbangkan kita ialah
perubahan dari segi pola dan kecenderungan pemikiran rakyat yang menjurus kepada
timbulnya budaya politik kebencian,” katanya.
Ahmad Zahid berkata anggota UMNO dan rakyat keseluruhan juga tidak
seharusnya mudah termakan dengan fahaman liberalisme yang semakin menghampiri
dan mendekati negara ini.
Beliau berkata mereka perlu sentiasa jelas bahawa demokrasi bagi negara ini
adalah suatu kebebasan yang beralaskan perlembagaan serta bersulamkan
undang-undang.
“Maka, saya seru kepada semua sayap-sayap UMNO untuk bersama-sama berdiri
teguh bersama presiden dan saya untuk terus memperbetulkan keadaan  ini. Kita
tolak Open Society yang membiayai negara-negara yang dihasratkan untuk
dikuasai demi kepentingan pembiayanya,” katanya.
Beliau juga berkata pengislahan radikalisme dan ekstremisme perlu dilakukan
bagi menangani semua elemen aliran negatif yang boleh menggugat keamanan negara.

Ahmad Zahid mengingatkan cabaran dalam mengekalkan kuasa yang dimiliki
UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana dikhuatiri ramai pemimpin akan terbuai
alpa sedangkan ‘rumah agam’ yang diduduki pada masa ini sedang berada di ambang
cukup kritikal.

Beliau berkata 198 daripada 222 kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada
Pilihan Raya Umum ke-11 merosot kepada 140 kerusi pada
2008 dan menurun kepada 134 kerusi pada 2013 sebelum tinggal 132 kerusi pada
masa ini selepas Anggota Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin
dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna) meninggalkan parti itu.

“Bagi rakan-rakan BN janganlah bergundah-gulana dengan semangat
kesetiakawanan UMNO. Marilah kita bertekad untuk bersama-sama berjuang dan
mempertahankan BN dalam menghadapi PRU14 akan datang,” katanya.       

Dalam ucapan yang turut diselang seli dengan petikan ayat al-Quran itu,
Ahmad Zahid juga menekankan kepentingan penyelesaian masalah kos sara hidup yang
menghimpit masyarakat khususnya di kawasan bandar.
Beliau bimbang jika permasalahan itu tidak didepani dengan baik, ramai
akan berjauh hati dengan kerajaan dan seterusnya boleh berubah menjadi ‘pembunuh
senyap’ terhadap kerajaan.
“Oleh itu, dalam usaha merungkai permasalahan ini, kita sebagai parti yang
menunjangi kerajaan, perlu sentiasa berusaha bagi memperjelaskan  kepada rakyat
bahawa agenda utama kerajaan begitu jelas dan berstruktur rapi dalam usaha
meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini termasuk  kehidupan rakyat di
bandar,” katanya.
Ahmad Zahid meminta anggota sayap UMNO supaya bijak menguasai ruang
siber dalam menangkis pelbagai  fitnah, tohmahan, kritikan dan serangan daripada
pihak seteru politik UMNO.
Katanya angkatan ‘cybertrooper’ atau ‘tentera siber’ perlu bersatu dalam
menyusun strategi menentang musuh dan bukannya sering berbalah sesama sendiri. – WD MY