SIK, 10 Julai – Anggota yang diluluskan cuti hanya 30 peratus daripada keseluruhan anggota
bomba dan penyelamat dibenarkan mengambil cuti semasa musim perayaan Hari Raya
Aidilfitri kali ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wira
Wan Mohd Noor Ibrahim.

Beliau berkata, tugas dan tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat
sepanjang musim perayaan ini akan dipikul oleh 70 peratus anggotanya.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa memastikan anggotanya mencukupi untuk
berkhidmat pada musim perayaan sambutan Aidilfitri tahun ini di semua lokasi,”
katanya kepada media selepas menyerahkan sumbangan kepada 84 orang anak
yatim dan miskin dari Rumah Penyayang Gemilang di sini malam tadi.

Katanya, sepanjang bulan puasa, program turun padang di semua balai bomba
dan penyelamat di seluruh negara dilakukan bagi memastikan semangat anggota yang
bertugas di musim perayaan ini tidak terjejas.

Beliau juga menasihatkan umat Islam yang akan pulang ke kampung untuk
menyambut Aidilfitri supaya berhati-hati di jalan raya dan memastikan barangan
elektrik yang ditinggalkan tidak menjadi punca kebakaran.

Wan Mohd Noor memberi jaminan anggota bomba dan penyelamat adalah mencukupi
di semua daerah untuk membantu jika berlaku sebarang kemalangan dan kebakaran di
musim perayaan ini. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY