TUMPAT, 15 FEB – REMPUH…. Dua anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor di sini parah selepas motosikal yang ditunggangi merempuh belakang sebuah lori membawa muatan ais di Kampung Bunohan pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, Mohd Badrul Hisyam Zakaria, 42 dan Mohd Zul Izzi Azmi, 28, dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menjalani latihan renang Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata kedua-dua mangsa menunggang motosikal berasingan.

“Lori muatan ais dari Wakaf Bharu menuju ke Sekolah Kebangsaan Bunohan untuk menghantar ais.

“Pemandu lori memberhentikan kenderaannya di luar pintu pagar sekolah sementara menunggu ia dibuka sebelum dirempuh oleh dua penunggang motosikal iaitu di bahagian tangki minyak, manakala seorang lagi di pintu hadapan sebelah kiri,” katanya.

Mohd Badrul Hisyam kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) manakala Mohd Zul Izzi dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana mengalami pendarahan di kepala.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – WD MY