KUALA LUMPUR, 13 Mei – Peras Ugut…. Dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis Kontinjen Selangor, ditukarkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa melakukan pemerasan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata tindakan dibuat susulan penyebaran maklumat menerusi aplikasi WhatsApp berhubung tindakan dua anggota MPV polis itu yang dikatakan memeras ugut mangsa dengan membawa mereka ke mesin juruwang automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang.

Katanya, perbuatan itu didakwa dilakukan selepas mangsa dikatakan berkelakuan tidak senonoh di dalam kereta.

“Kita menerima laporan berhubung penyebaran mesej WhatsApp itu semalam dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

“Dua anggota yang didakwa melakukan perbuatan itu sudah dikenal pasti dan ditahan untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau memberi jaminan siasatan akan dilakukan secara telus dan teliti, malah tindakan sudah diambil mengikut undang-undang terhadap anggota terbabit berdasarkan keterangan dan bukti.

Sehubungan itu, Abdul Samah meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita itu dan mengelak membuat spekulasi tanpa fakta sahih daripada pihak polis. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY