KUALA LUMPUR, 9 Mac – Sumbangan…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua Anggota Parlimen memberikan sumbangan peribadi mereka untuk membeli pakaian seragam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di kawasan
parlimen masing-masing.

Ahmad Zahid berkata kerajaan telah memperuntukkan RM154 juta bagi pembelian pakaian seragam kepada anggota jabatan itu sebelum ini tetapi dilihat masih tidak mencukupi.
“Kita ketahui bahawa jumlah anggota RELA kini seramai 3.24 juta orang. Ini suatu jumlah yang besar maka saya seru Anggota Parlimen bantu kerajaan, beri sedikit sumbangan.
Apabila Anggota Parlimen berbuat demikian maka anggota RELA di kawasan masing-masing akan lebih bersemangat,” katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat RELA kepada Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi.
Sejumlah 122 Anggota Parlimen BN menerima pangkat kehormat RELA sebagai mengiktiraf peranan mereka mendokong semangat kesukarelaan sekali gus mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berharap kesemua penerima pangkat berkenaan dapat bersama-sama kerajaan dalam meningkatkan keyakinan dan jangkaan rakyat.

“Apabila diberi pangkat ia bererti kita telah diberi kuasa di bawah Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 untuk melaksanakan tugas,” katanya. – WD MY