KAJANG, 29 Julai – Lemas…… Anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang lemas selepas bot yang dinaikinya bersama sembilan lagi rakan terbalik dalam perjalanan ke Pulau Pasir Putih, Empangan Semenyih, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa dikenal pasti sebagai Amer Nur Rashid Abdul Rashid, manakala sembilan lagi rakannya berjaya diselamatkan pihak bomba pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.48 malam berhubung kejadian berkenaan.

“Mangsa, Amer Nur Rashid Abdul Rashid berjaya ditemui pada jam 11.26 pagi tadi manakala sembilan lagi rakannya ditemui pada jam 6.58 pagi.

“Mangsa bersama sembilan rakan termasuk tiga anggota polis lain dan beberapa pemancing Orang Asli dalam perjalanan ke Pulau Pasir Putih, Empangan Semenyih untuk memancing.

“Ketika dalam perjalanan berkenaan, bot yang dinaiki mereka terbalik,” katanya.

Amer Nur Rashid bertugas di Cawangan Khas IPD Sepang dan berasal dari Kampung Bangau Parit, Temerloh, Pahang. – WD MY