SEPANG, 3 Jan – REMPUH…. Dua anggota Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) cedera dirempuh ketika sedang membantu membaiki sebuah kenderaan rosak di Jalan CTA 2 di KLIA, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, Lans Koperal Abd Mutalip Ismail, 40, dan Lans Koperal Suzaili Mohd Marzuki, 31, cedera di kepala selepas sebuah van merempuh belakang kereta yang sedang dibaiki itu.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata kemalangan di susur masuk Hotel Sama-Sama ketika dua anggota trafik itu sedang membantu membaiki sebuah Suzuki Swift yang rosak.

“Secara tiba-tiba, datang sebuah van merempuh belakang kereta berkenaan menyebabkannya bergerak ke hadapan dan melanggar dua anggota trafik terbabit,” katanya “.

Kedua-dua anggota trafik itu kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Pemandu van berkenaan juga ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – WD MY