DUNGUN,NOVEMBER 10: LEMAS Seorang anggota polis dan lelaki yang diburu dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Penyiram, Durian Mentangau, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Konstabel Wan Mohd Ariff Wan Yahaya, 28, yang bertugas di Balai Polis Paka dan suspek berusia 39 tahun, dikatakan tergelincir dari tebing sungai itu.

Sebelum kejadian, anggota polis terbabit bersama tiga rakan setugas, Koperal Mohd Sayuti Sani, 35, Koperal Mohd Nor Fazli Ibrahim, 31 dan Konstabel Zazali Omar, 33, sedang dalam operasi memburu suspek.

Suspek dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Kampung Limbong di sini, dan melarikan sebuah kenderaan Perodua Kembara, pada 8 November lalu.

Berikutan itu, empat anggota terbabit dikatakan membuat risikan dan hasil maklumat mendapati suspek bersembunyi di sebuah rumah tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketika tiba di rumah terbabit, anggota polis menemui kenderaan yang dilaporkan hilang dan turun untuk membuat pemeriksaan, bagaimanapun suspek melarikan diri.

Anggota terbabit kemudian mengejar suspek dan sebaik tiba di lokasi kejadian yang gelap, suspek dan Wan Mohd Ariff dikatakan tergelincir dari tebing setinggi lima meter itu sebelum kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Tiga lagi anggota terbabit gagal membantu berikutan air sungai sangat deras, sebelum kedua-dua mangsa tenggelam ke dasar sungai.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika ditemui di lokasi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis dengan kerjasama pasukan bomba dan penduduk kampung segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

“Operasi yang menggunakan empat bot penduduk kampung itu masih gagal menemui kedua-dua mangsa dan operasi dihentikan kira-kira jam 3 pagi dan akan disambung semula jam 8 pagi ini,” katanya.-MY WD