GEORGETOWN, 19 OGOS – TAHAN….  Dua anggota polis, masing-masing berpangkat konstabel dan Lans Koperal ditahan kira-kira jam 6 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung satu laporan dibuat seorang pemandu lori yang mendakwa diperas ugut oleh mereka dalam kejadian di Balai Polis Jelutong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang ketika mengesahkan penahanan itu, berkata kedua-dua anggota berkenaan yang berusia 25 dan 28 tahun ditahan di Balai Polis Jelutong.

“Polis hari ini menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 32 tahun yang mendakwa diperas ugut dua anggota polis berkenaan dalam kejadian pukul 10 pagi semalam ketika ditahan selepas disyaki terbabit dalam kerja menulis nombor ekor haram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemandu lori itu ditahan dua anggota polis berkenaan ketika berada di atas motosikal sedang menunggu rakannya di tepi jalan Lorong Hijau 3, Jelutong sebelum mereka memeriksa telefon bimbit serta barangan peribadi milik mangsa.

Beliau berkata seorang anggota polis itu memeriksa kandungan dalam telefon bimbit lelaki tersebut sebelum memaklumkan terdapat resit nombor ekor haram, namun lelaki itu tidak pasti sama ada benar terdapat resit berkenaan.

Che Zaimani berkata, dua anggota polis yang masing-masing menunggang motosikal itu kemudian mengarahkan lelaki berkenaan mengikut mereka ke Balai Polis Jelutong dan semua barang, termasuk telefon bimbit disimpan anggota terbabit.

Menurutnya, sebaik tiba di Balai Polis Jelutong, anggota berkenaan membawa mangsa masuk ke dalam satu bilik dan memberitahu jika kes itu dibawa ke mahkamah, lelaki terbabit boleh didenda RM12,000 dan jika mahu kes diselesaikan, perlu membayar RM2,000 kepada mereka.

“Mangsa memaklumkan dia hanya mempunyai RM200 sahaja dan anggota polis berkenaan menyuruh lelaki itu ke bank untuk mengambil duit. Selepas pulang, dia memaklumkan hanya memiliki RM400 dan menyerahkannya kepada dua anggota polis berkenaan sebelum barang-barangnya diserahkan semula serta dibenarkan pulang,” katanya.

Katanya, lelaki itu membuat laporan polis hari ini selepas dinasihatkan oleh keluarganya dan susulan itu, polis menahan dua anggota yang bertugas sebagai anggota ronda di Balai Polis Jelutong. – WD  MY