KUALA LUMPUR, 3 Sept – MENINGGAL DUNIA…. Anggota polis yang bertugas di Balai Polis Selayang di sini maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Idaman, Selayang.

Anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) itu dikenali sebagai Lans Koperal Freddie Delvis Anak Digat, 27, dan berasal dari Kampung Plaie, Kota Samarahan, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata dalam kejadian pukul 7.30 pagi semalam, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita berumur 43 tahun, yang datang dari arah hadapan ketika mangsa membelok ke kanan.

“Mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Ali berkata jasad mendiang yang sudah berkahwin dan bapa kepada dua anak itu akan dibawa pulang dengan penerbangan dijadualkan pukul 8 pagi ini.

Jasad akan disemadikan di kampung halamannya di Kota Samarahan.

Ali berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya. – WD MY