KUCHING, 21 Jan – Polis akan menggunakan bantuan anggota dari
Sabah dan Semenanjung bagi memastikan kawalan keselamatan berjalan lancar
sepanjang proses Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata jumlah keanggotaan
serta keperluan logistik sudah pasti akan meningkatkan berikutan jumlah kawasan
Dewan Undangan Negeri (DUN) bertambah dari 71 kepada 82 kerusi.

Katanya, bantuan anggota dari luar Sarawak perlu dibawa masuk untuk PRN-11
kerana tidak mahu mengganggu tugas anggota di balai dan pondok polis di negeri
ini.

“Kalau kita tengok saluran mengundi sahaja ada lebih 2,700 saluran dengan
setiap saluran pilihan raya perlu ada satu anggota,” katanya pada sidang media
selepas menghadiri taklimat PRN-11 lebih sejam di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK)
Sarawak hari ini.

Katanya biarpun tarikh PRN-11 belum diumumkan, PDRM perlu membuat persediaan
rapi kerana ada daerah terletak jauh di kawasan pedalaman serta ada kawasan yang
sukar untuk sampai kerana masalah pengangkutan dan sebagainya.

Khalid berkata pihaknya belum menetapkan jumlah anggota yang diperlukan
tetapi menyatakan IPK Sarawak memerlukan tambahan anggota dari luar bagi
memastikan proses pilihan raya negeri itu berjalan lancar.

Menurutnya taklimat tersebut adalah berkaitan persiapan awal IPK Sarawak
serta meninjau, melawat dan mendengar mengenai keperluan logistik serta
perancangan yang perlukan dilakukan.

Taklimat tersebut turut dihadiri Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman,
Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan
Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim dan Pengarah Jabatan Pengurusan
PDRM, Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah.

Ditanya sama ada pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan ini akan menjejaskan
persiapan PDRM menghadapi PRN-11, Khalid berkata pihaknya turut mengambil kira
mengenai perkara itu serta memastikan pilihan raya negeri itu berjalan lancar.

“Kita akan gunakan apa juga sumber-sumber yang ada di sini dahulu sebelum
mengambil apa juga tindakan melibatkan kos tinggi,” katanya. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY