MANILA, 11 Mei – Kecam…. Presiden Rodrigo Duterte sekali lagi mengecam anggota polis yang terbabit rasuah ketika pasukan itu menjadi barisan hadapan perang terhadap dadah selepas empat lagi pegawai didakwa menculik dan memeras ugut.

Penahanan empat pegawai polis berkenaan dari daerah Makati itu adalah yang terbaru dalam siri skandal rasuah membabitkan pegawai polis sehingga menimbulkan tanda tanya berhubung kredibiliti mereka dalam menjayakan kempen memerangi dadah.

“Saya mendapat tahu bahawa di sini, ada satu lagi kejadian culik membabitkan pegawai polis,” kata Duterte di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila sebelum berlepas ke Kemboja.

Duterte sebelum ini mengakui bahawa pasukan polis negara itu dibarisi oleh pegawai dan anggota yang sering terbabit dengan rasuah.

Rabu lalu, beliau mengumumkan perancangan untuk melantik Ketua Pegawai Tentera, Jeneral Eduardo Ano, sebagai Setiausaha Dalam Negeri bagi membantu pasukan polis.

Siri terbaru skandal rasuah itu membabitkan penahanan empat pegawai polis dari Makati kerana terbabit memeras ugut seorang ahli perniagaan dan teman wanitanya yang ditahan sehari sebelum itu.

Skandal rasuah pasukan polis Filipina terbongkar apabila beberapa polis dari unit antidadah ditahan atas tuduhan menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan Korea Selatan, awal tahun ini. – WD MY