KUALA LUMPUR, 22 FEB – RAGUT….. Anggota polis wanita berpangkat Detektif Sarjan menjadi mangsa ragut ketika sedang berjalan di hadapan bangunan Koperasi Polis Diraja Malaysia di Kampung Attap, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa yang berusia 59 tahun sedang berjalan berseorangan apabila seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya yang disandang di bahu kanan dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata mangsa tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu menjerit kerana kejadian berlaku dengan pantas.

“Mangsa yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak itu tidak cedera dan beliau mengalami kerugian wang tunai RM50, dokumen pengenalan diri dan beberapa kad bank.

“Beliau tidak dapat mengenal pasti wajah peragut serta nombor pendaftaran motosikal yang digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian itu dapat dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di lokasi kejadian yang kini sedang diteliti untuk siasatan.

Rakaman CCTV berkenaan turut tular di media sosial dan menerusi rakaman berdurasi 17 saat itu kelihatan mangsa sedang menggunakan telefon bimbit sebelum seorang penunggang motosikal menarik beg tangannya dari belakang. – WD MY