SEREMBAN, 20 Feb РTindakan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang cuba meminta rasuah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

Anggota RELA itu juga cuba menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen untuk meminta suapan.

Sumber berkata, suspek berusia 38 tahun ditahan pihaknya di kawasan tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Seremban 2 kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Katanya, dalam operasi itu, suspek cuba melarikan diri dengan melanggar bahagian sisi kiri kereta pegawai SPRM yang menghalang laluannya, namun dia terperangkap apabila kenderaannya tidak dapat bergerak lebih jauh.

“Suspek dipercayai meminta dan menerima wang daripada seorang peniaga perabot kononnya sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang pekerja warga Pakistan yang didakwa menyalahgunakan permit kerja.

“Siasatan mendapati, dia meminta RM2,000 dan sudah menerima RM500 daripada peniaga terbabit,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap, mengesahkan penahanan itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY